KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka dapat menurunkan kes jangkitan COVID-19 kepada dua angka pada Mei ini jika langkah kesihatan awam terus dilaksanakan dan program vaksinasi berjalan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan perkembangan semasa jumlah keseluruhan kes menunjukkan penurunan walaupun masih ada jangkitan di beberapa kluster baharu.

Beliau berkata, menerusi tindakan kesihatan awam dan program vaksinasi, pihaknya menjangkakan kes boleh menurun sehingga 1,000 kes sehari mulai pertengahan bulan depan.

"Unjuran itu adalah menggunakan kaedah yang kita (Kementerian Kesihatan) sudah laksanakan sebelum ini dan kita akan berjaya menurunkan kes kepada dua angka jika rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan mempunyai disiplin yang tinggi.

"Sebelum ini, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 20,000 jangkitan pada Mac ini.

"Bagaimanapun, dengan situasi semasa ia tidak berlaku," katanya dalam Sesi Libat Urus dengan media, di sini, hari ini.

 

Sumber - Berita Nasional