Oleh Rafidah Mat Ruzki - Mac 8, 2021 @ 5:11pm
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan aspek promosi termasuk menerusi papan iklan luar bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata selain itu hasil mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri, mereka akan menggerakkan jentera kerajaan di setiap peringkat termasuk bagi memberi kesedaran kepada penduduk di negeri masing-masing mengenai kepentingan mendapatkan vaksinasi.
"Saya sudah meminta mereka menggerakkan jentera di peringkat akar umbi termasuk melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan di daerah untuk meningkatkan dan memperbanyakkan hebahan.
"Saya boleh simpulkan bahawa setakat ini masih ada lagi yang bersikap tunggu dan lihat tetapi saya yakin dengan pembabitan daripada kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT dan ketua masyarakat, 'influencer' kita akan melihat peningkatan pendaftaran dalam masa terdekat.
"Apabila kita melihat contoh semalam, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menerima vaksin, kita melihat ada peningkatan pendaftaran," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.
Khairy berkata, ia berkemungkinan golongan warga emas kini berasa yakin dengan keselamatan vaksin untuk mereka selepas melihat Dr Mahathir yang berusia 96 tahun juga mengambil vaksin berkenaan.
Beliau juga akan bertemu dengan Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menyusun tempat dan waktu supaya taklimat berhubung vaksin COVID-19 dapat diberikan kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
"Soal tarikh dan tempat akan saya susun dengan mereka supaya taklimat dapat diberikan kepada semua wakil rakyat pada hari yang sama," katanya.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Khairy memberi taklimat kepada semua ahli parlimen pembangkang mengenai program imunisasi di Parlimen pada 18 Mac ini.
Sumber : Berita Harian

