CHIPTA 2021 realisasi manfaat teknologi pintar, perkongsian data terbuka

Hanis Aliaa Hidzir - November 19, 2021 @ 2:11pm

KSN

BERTEMAKAN "Catalyzing Innovation for New Norm & Better Future", pertandingan mencipta aplikasi mudah alih anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) secara rasmi telah melabuhkan tirai, 17 November lalu.

Dianjurkan sejak 2015 dengan nama Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih telah digabung dan dijenamakan semula kepada CHallenge on Innovation and Problem solving through Technology Advancement (CHIPTA).

Pertandingan ini terbahagi kepada empat kategori iaitu Sektor Awam, Orang Awam/ Industri, Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pelajar Sekolah Menengah dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM66,000.00.

Meskipun diadakan sepenuhnya secara dalam talian akibat pandemik, program CHIPTA pada tahun ini berjaya menarik penyertaan 123 pasukan dengan 114 pasukan melepasi tapisan penyertaan dan dinilai untuk mara ke peringkat akhir.

Seramai 17 orang juri penilai profesional dan bebas telah dilantik terdiri daripada wakil kerajaan, akademia dan industri untuk memastikan penilaian dilaksanakan dengan telus dan adil.

Selaras dengan tema, peserta perlu menghasilkan aplikasi pintar dengan memanfaatkan penggunaan data terbuka kerajaan menggunakan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti Internet of Things (IOT), Analitis Data Raya (Big Data Analytics), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dan Blockchain.

CHIPTA juga memperkenalkan konsep baharu dengan menambah baik pengisian program bagi meningkatkan kualiti sokongan kepada peserta yang membabitkan Subject Matter Expert (SME) daripada pelbagai bidang kepakaran sebagai mentor sekali gus membuka peluang kolaborasi antara MAMPU dengan industri dan universiti.

Selain itu, MAMPU turut menetapkan syarat penyertaan peserta pada kali ini kepada empat bidang fokus utama iaitu Malaysia Cakna, Malaysia Sihat, Malaysia Sejahtera dan Malaysia Pintar yang mana setiap bidang fokus itu dipecahkan kepada beberapa kes perniagaan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, sesi penilaian akhir telah diadakan pada 8 hingga 10 September 2021 secara telesidang susulan situasi pandemik selain mengambil kira kedudukan peserta yang berada di pelbagai lokasi.

Sektor Awam

Kumpulan Pharmacoders dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara telah menjuarai kategori Sektor Awam dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Tempat kedua dimenangi kumpulan TechTapir daripada MAMPU, JPM dengan aplikasi JOMBantu dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan KITHA daripada Hospital Ampang dengan aplikasi C-Hat.

IPT

Bagi kategori Pelajar Institusi Pengajian Tinggi pula, kumpulan VarsityQuadro daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mencipta aplikasi Sharity telah memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Tempat kedua disandang oleh kumpulan Ozone daripada Universiti Malaya dengan aplikasi My COVID-19 SOP dan tempat ketiga kumpulan Alter Dime daripada University College TATI dengan aplikasi App IKS.

Orang Awam

Bagi kategori Orang Awam/ Industri dimenangi oleh kumpulan Appkan Team dengan kejayaan mencipta aplikasi SiBIS (Sistem Bersepadu Ibu Bapa & Sekolah) dan telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Tempat kedua jatuh kepada kumpulan Perisai dengan aplikasi Perisai dan tempat ketiga kumpulan TheOtaku dengan aplikasi Life Shuffler.

SMK

Bagi kategori Pelajar Sekolah Menengah, kumpulan AIA United daripada Kolej Vokasional Sepang dengan idea inovasi aplikasi Rakan Cop telah menjadi juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga dimenangi kumpulan Familia daripada Kolej Vokasional Shah Alam dengan aplikasi We Care dan kumpulan ALABEST daripada Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bestari D'Merlimau melalui aplikasi Travex.

Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.00 dan RM1,000.00.

KP MAMPU

Majlis pengumuman pemenang CHIPTA 2021 disempurnakan secara langsung di platform Facebook Live MAMPU oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail.

Mohd Zuki dalam ucapannya berharap agar peserta tidak berhenti berinovasi dan terus gigih mencipta produk yang dapat menyelesaikan masalah serta memberi faedah dan impak yang signifikan kepada kerajaan dan rakyat.

Beliau turut memohon agensi berkaitan produk yang dibangunkan dapat memberikan peluang untuk peserta berkolaborasi dan bekerjasama bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat dikomersialkan.