Pemberian Vaksin Kepada Golongan Remaja

1200px Jata MalaysiaV2

 KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

PROGRAM IMUNISASI COVID-19 REMAJA (PICK-REMAJA) SECARA WALK-IN BERJADUAL

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan pada 20 September 2021 dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun. Langkah ini sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

Sehingga 20 September 2021, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku. Untuk makluman juga, PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak, WP Labuan, Sabah, Kelantan, Kedah dan Johor. Sehingga 20 September, seramai 308,186 remaja telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak 88,473; Kedah 19,453; Kelantan 17,413; Johor 16,019 dan WP Labuan 2,523.

Seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan semalam, pemberian PICKRemaja dilakukan melalui beberapa kaedah seperti berikut:

• Secara jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual. Pemberian vaksin akan dibuat oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan KKM, pengamal perubatan swasta, Health Care Organisation atau NGO kesihatan yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

• Bagi remaja yang akan menduduki peperiksaan utama yang bersekolah di sekolah asrama penuh atau asrama harian, janji temu dos pertama vaksin COVID-19 akan diberikan di klinik atau sekolah yang berhampiran tempat tinggal mereka, manakala vaksin dos kedua akan diberi di sekolah.

     o Remaja dengan komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

     o Remaja yang gagal hadir semasa janji temu di sekolah, akan diberi janji temu di klinik kesihatan swasta yang berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.

Saya ingin mengumumkan satu lagi pendekatan yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada remaja iaitu secara walk-in berjadual. Ini setelah mengambil kira PICK populasi dewasa yang hampir mencapai sasaran dan bilangan penerima vaksin di PPV Awam serta Integrasi telah menurun. Semua PPV di bawah CITF Induk dijangka akan berhenti beroperasi pada 15 Oktober 2021.

Sehubungan itu, CITF-A telah mengenalpasti 156 PPV Awam dan Integrasi di seluruh negara bagi tempoh peralihan ini untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi PICK-Remaja secara walk-in. Pelaksanaan kaedah walkin berjadual akan dilakukan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti dan akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan. Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masingmasing kepada remaja dan ibu bapa.

Pemberian Vaksin PICK-Remaja secara walk-in di 156 PPV hanya akan bermula pada 23 September 2021, melibatkan semua kategori remaja termasuk mereka yang tidak bersekolah. Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk walk-in di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman. Bagaimanapun sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan.

Remaja yang menuntut di IPTA/ IPTS yang berumur di bawah 18 tahun dibenarkan walk-in ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS. Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka.

Manakala bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV Sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi.

Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk tujuan vaksinasi. Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa memastikan remaja yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan mengambil air secukupnya sebelum ke PPV. Ibu bapa perlu mengawasi remaja supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh 7 hari selepas pemvaksinan.

 

DATO’ DR HJ NOOR AZMI BIN GHAZALI

TIMBALAN MENTERI KESIHATAN 1

MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA BERTINDAK IMUNISASI COVID-19 REMAJA (CITF-A)

21 September 2021